Friday, May 28, 2010

Cerpen Mikro : Lesen

Tiga orang sahabat sedang berbual di sebuah restoran mengenai kejayaan masing-masing mendapatkan lesen setelah mereka diberhentikan kerja dari sebuah kilang. Si A bersyukur kerana telah berjaya mendapatkan lesen kontraktor kelas F daripada kerajaan. Dia berharap dengan lesen yang berjaya diperolehinya akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik serta dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarganya semenjak dia menandatangani skim VSS di kilangnya.

Si B pula berharap dengan lesen GDL kelas penuh membawa lori trailer membolehkan dia mendapat pendapatan yang lebih lumayan untuk menyara keluarganya. Dia sedar, dengan kelulusan setakat darjah 6 dan pengalaman sebagai pemandu lori kilang, itu sahaja pekerjaan yang mampu dilakukannya semenjak diberhentikan dari kilang tersebut.

Lalu ditanya si A dan B kepada si C, lesen apa yang dia perolehi hinggakan seronok tak terhingga kedengarannya. Lalu dijawab si C, "Wa sudah dapat lesen daripada PBT, mau organize itu laga ayam halal punya. Talak susah-susah macam lu olang".

"Itu macam lesen pun ada ka?", tanya si A dan B.

Wednesday, May 19, 2010

Cerpen Mikro: Upah

Abah : Adik, tadi abah mintak tolong kamu cucikan kereta. Dah buat ke, belum?

Adik : Belum lagi bah, tadi adik tolong mak dulu sidai baju dengan cuci tandas.

Abah : Laa..abah dah nak keluar ni. Kalau macam tu tak ada la upah adik yang abah janji tadi. Berapa upah yang mak kamu bagi?

Adik : Takde. Mak takde janji apa-apa. Tapi mak selalu tolong adik buat kerja rumah dan tanya kalau ada masalah. Mak selalu masak makanan kegemaran adik. Adik rasa itu dah cukup. Abah ni pun satu, buat apa la nak berupah-upah. Dah memang tanggungjawab abah bagi nafkah pada keluarga. Anak-anak pula memanglah kena berbakti pada kedua ibu bapanya. Abah ni kalau nak apa-apa, mesti janji nak bagi itu ini. Jangan jadi macam orang-orang dalam tv tu sudahlah.

Abah : Orang-orang dalam tv? Siapa?

Thursday, May 13, 2010

Cerpen Mikro : Anak


"Kesian budak ni bang. Comel pulak tu. Teringin saya nak menyusukannya tapi tak cukup pulak rasanya", simpati Mak Tom melihatkan seorang bayi yang ditinggalkan di kediamannya.

Mak Tom baru sahaja melahirkan anak kembar lima beberapa hari lalu. Mak Tom cukup sayangkan anak-anaknya bagai menatang minyak yang penuh. Sebelum ini dia telah beberapa kali mengalami keguguran dan kematian anaknya selepas dilahirkan. Namun kini, Mak Tom bersyukur dengan berkat keizinan Allah S.W.T mengurniakan kepadanya lima orang anak sekaligus.

"Memang kesian saya menengoknya, tapi nak buat macamana. Susu badan awak tu pun memang tak cukup untuk budak tu. Kita pun hidup bukannya senang "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Ni ha, ada la sikit pendapatan hasil saya 'mengais' beberapa tempat tadi", luah Pak Tam yang baru pulang dari mencari rezeki.

"Inilah manusia, terlalu mengikutkan nafsu ammarah, akal pendek sebab dah tak ada ilmu mengenal Allah Taala. Tak tahu matlamat hidup atas dunia. Bila dah jadi macam ni, keputusannya lebih teruk dari binatang dek mengikut telunjuk hawa nafsu dan syaitan", bersyarah pula Pak Tam melepaskan geram.

"Eh, eh, banyak pulak semut kat belakang badan budak ni bang! Cuba abang buangkan", gesa Mak Tom apabila melihatkan beberapa ekor semut cuba merayap di badan bayi tersebut. Pak Tam segera menjilat-jilat di belakang bayi itu untuk membuang semut-semut tersebut.

_____________________________________________________

"Astaghfirullahal Aziim, Ya Allah! Siapalah punya kerja ni!", terkejut Mamat pekerja pembersihan majlis perbandaran melihatkan seorang bayi yang masih hidup ditinggalkan di tepi tong sampah sambil kelihatan seekor kucing sedang menjilat-jilat tubuh bayi tersebut sementara diperhatikan oleh seekor lagi kucing bersama lima ekor anaknya.

Saturday, May 8, 2010

Cerpen Mikro : Tembak


Sraap..sraap..prakk! Kedengaran bunyi desiran rimbunan dedaun dan reranting patah yang diredahi Dolah dan Seman di dalam hutan berhampiran kebun mereka. Dolah yang berbadan gempal berisi dan sedikit katik dengan berpakaian serba hitam berhenti seketika untuk melepaskan lelah sambil berdengus nafasnya seperti kerbau. Hela nafasnya sememangnya begitu sekiranya kepenatan.

"Man, ingat! Jangan kau lepaskan tembakan sembarangan selagi 'dia' belum meluru ke arah engkau", pesan Dolah kepada Seman yang baru berjinak-jinak dengan kerja-kerja memburu.Krooghh!Krooghh! Tiba-tiba kedengaran bunyi rengekan si 'dia' yang dicari disebalik rimbunan semak yang tebal. "Tunggu kau!",dendam Dolah oleh kerana sudah beberapa kali anak-anak pokok pisang di kebunnya rosak dikerjakan si 'dia'.

"Man, kau tunggu kat sini. Aku nak pergi sebelah sana", pesan Dolah yang mula mengatur langkah perlahan-lahan. Krooghh!Krooghh!...Brasss!! Sekali lagi kedengaran bunyi yang agak hampir dengan Seman. Jari telunjuk Seman telah tersedia di picu senapang patahnya dengan mata meliar-liar mencari pergerakkan bunyi tersebut.
________________________________________________________

Dolah sedang terbongkok-bongkok untuk mendekati bunyi tersebut sambil bersedia dengan senapang patahnya.Dia bergerak perlahan-lahan mengatur langkahnya tanpa menyedari bahawa kakinya telah terpijak sarang tebuan tanah. "Aduh!! Dolah mengerang kesakitan kerana tiba-tiba merasakan kakinya bisa disengat sesuatu. Bila menyedari bahawa dirinya telah dikerumuni oleh tebuan-tebuan berkenaan, dia terus berlari meredah semak samun dihadapannya sekuat hati untuk melarikan diri.

Brasss!!Brasss!! Praaak!! kedengaran dedaun dan ranting kayu diredahi sesuatu. Sekali lagi Seman terkejut dan kali ini dia mendapati di hadapannya ada 'benda hitam' yang besar sedang meluru laju di celah-celah rimbunan semak betul-betul kearahnya. Seman cemas dan terus menarik picu senapang patahnya.Bang!!!Bang!!! Tembakan Seman mengenai sasaran dan 'benda hitam' yang meluru dihadapannya terus rebah di celah semak. Dia terus berlari menghampiri sasaran untuk mendapatkan kepastian.

"Arghh...Allah...",mengerang Dolah menahan kesakitan sambil tersandar di celah rimbunan semak. Seman terkejut kerana mendapati 'benda hitam' yang ditembaknya adalah Dolah. "Kenapa dengan kau Dolah?",tanya Seman apabila mendapati muka Dolah berbintat-bintat merah serta kaki yang berlumuran darah disebabkan tembakan Seman. "Aku kena sengat dengan tebuan tanah. Yang kau tembak aku apasal? Nasib baik terkena kaki jer", marah Dolah dalam kesakitan. "Minta maaf Dolah, aku ingatkan engkau yang babi hutan tu", menyeringai Seman dalam keadaan serba salah.