Saturday, May 8, 2010

Cerpen Mikro : Tembak


Sraap..sraap..prakk! Kedengaran bunyi desiran rimbunan dedaun dan reranting patah yang diredahi Dolah dan Seman di dalam hutan berhampiran kebun mereka. Dolah yang berbadan gempal berisi dan sedikit katik dengan berpakaian serba hitam berhenti seketika untuk melepaskan lelah sambil berdengus nafasnya seperti kerbau. Hela nafasnya sememangnya begitu sekiranya kepenatan.

"Man, ingat! Jangan kau lepaskan tembakan sembarangan selagi 'dia' belum meluru ke arah engkau", pesan Dolah kepada Seman yang baru berjinak-jinak dengan kerja-kerja memburu.Krooghh!Krooghh! Tiba-tiba kedengaran bunyi rengekan si 'dia' yang dicari disebalik rimbunan semak yang tebal. "Tunggu kau!",dendam Dolah oleh kerana sudah beberapa kali anak-anak pokok pisang di kebunnya rosak dikerjakan si 'dia'.

"Man, kau tunggu kat sini. Aku nak pergi sebelah sana", pesan Dolah yang mula mengatur langkah perlahan-lahan. Krooghh!Krooghh!...Brasss!! Sekali lagi kedengaran bunyi yang agak hampir dengan Seman. Jari telunjuk Seman telah tersedia di picu senapang patahnya dengan mata meliar-liar mencari pergerakkan bunyi tersebut.
________________________________________________________

Dolah sedang terbongkok-bongkok untuk mendekati bunyi tersebut sambil bersedia dengan senapang patahnya.Dia bergerak perlahan-lahan mengatur langkahnya tanpa menyedari bahawa kakinya telah terpijak sarang tebuan tanah. "Aduh!! Dolah mengerang kesakitan kerana tiba-tiba merasakan kakinya bisa disengat sesuatu. Bila menyedari bahawa dirinya telah dikerumuni oleh tebuan-tebuan berkenaan, dia terus berlari meredah semak samun dihadapannya sekuat hati untuk melarikan diri.

Brasss!!Brasss!! Praaak!! kedengaran dedaun dan ranting kayu diredahi sesuatu. Sekali lagi Seman terkejut dan kali ini dia mendapati di hadapannya ada 'benda hitam' yang besar sedang meluru laju di celah-celah rimbunan semak betul-betul kearahnya. Seman cemas dan terus menarik picu senapang patahnya.Bang!!!Bang!!! Tembakan Seman mengenai sasaran dan 'benda hitam' yang meluru dihadapannya terus rebah di celah semak. Dia terus berlari menghampiri sasaran untuk mendapatkan kepastian.

"Arghh...Allah...",mengerang Dolah menahan kesakitan sambil tersandar di celah rimbunan semak. Seman terkejut kerana mendapati 'benda hitam' yang ditembaknya adalah Dolah. "Kenapa dengan kau Dolah?",tanya Seman apabila mendapati muka Dolah berbintat-bintat merah serta kaki yang berlumuran darah disebabkan tembakan Seman. "Aku kena sengat dengan tebuan tanah. Yang kau tembak aku apasal? Nasib baik terkena kaki jer", marah Dolah dalam kesakitan. "Minta maaf Dolah, aku ingatkan engkau yang babi hutan tu", menyeringai Seman dalam keadaan serba salah.

No comments:

Post a Comment