Thursday, May 13, 2010

Cerpen Mikro : Anak


"Kesian budak ni bang. Comel pulak tu. Teringin saya nak menyusukannya tapi tak cukup pulak rasanya", simpati Mak Tom melihatkan seorang bayi yang ditinggalkan di kediamannya.

Mak Tom baru sahaja melahirkan anak kembar lima beberapa hari lalu. Mak Tom cukup sayangkan anak-anaknya bagai menatang minyak yang penuh. Sebelum ini dia telah beberapa kali mengalami keguguran dan kematian anaknya selepas dilahirkan. Namun kini, Mak Tom bersyukur dengan berkat keizinan Allah S.W.T mengurniakan kepadanya lima orang anak sekaligus.

"Memang kesian saya menengoknya, tapi nak buat macamana. Susu badan awak tu pun memang tak cukup untuk budak tu. Kita pun hidup bukannya senang "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Ni ha, ada la sikit pendapatan hasil saya 'mengais' beberapa tempat tadi", luah Pak Tam yang baru pulang dari mencari rezeki.

"Inilah manusia, terlalu mengikutkan nafsu ammarah, akal pendek sebab dah tak ada ilmu mengenal Allah Taala. Tak tahu matlamat hidup atas dunia. Bila dah jadi macam ni, keputusannya lebih teruk dari binatang dek mengikut telunjuk hawa nafsu dan syaitan", bersyarah pula Pak Tam melepaskan geram.

"Eh, eh, banyak pulak semut kat belakang badan budak ni bang! Cuba abang buangkan", gesa Mak Tom apabila melihatkan beberapa ekor semut cuba merayap di badan bayi tersebut. Pak Tam segera menjilat-jilat di belakang bayi itu untuk membuang semut-semut tersebut.

_____________________________________________________

"Astaghfirullahal Aziim, Ya Allah! Siapalah punya kerja ni!", terkejut Mamat pekerja pembersihan majlis perbandaran melihatkan seorang bayi yang masih hidup ditinggalkan di tepi tong sampah sambil kelihatan seekor kucing sedang menjilat-jilat tubuh bayi tersebut sementara diperhatikan oleh seekor lagi kucing bersama lima ekor anaknya.

No comments:

Post a Comment